Sunday, July 02, 2006

Rentakreka: Satu (Interlude)

Wahai tangan yang diberi, tangan untuk menarikan kayu hikmat,
Wahai mata yang mampu melihat, mencari dan menerokai,
Wahai minda yang mampu mencipta, mencari dan melahirkan keindahan,
Wahai yang Maha Esa, berikanlah kami ilham dan kesabaran agar kami dapat berkarya.


Pendidikan Grafik (Interlude):
Malaysia kini, dibanjiri pereka-pereka baru, yang begitu bersemangat dan bercita-cita untuk menjadi seorang pereka yang berjaya. Walaubagaimana pun, apakah wawasan kita selepas berada 5 tahun dalam industri ini? Dimanakah arah tujuan mereka? Apakah yang mereka telah capai?

Dimanakah asas seorang pereka bermula? Asasnya seni itu sendiri. Tanpa seni, kita tidak mampu mengimbang karya kita, kita tak mampu mengendali warna dalam lautan harmoni. Perhatikan sejarah dan perkembangan seni, hargai seniman yang telah menitikberatkan kepentingan asas seni dalam berkarya, agar hasil yang kita buat, menjadi satu mutu yang ulung dan yang semestinya kita banggakan.

Dimana warna-warna yang sejati?

Aku sukakan warna kerana warna memberi kesan dalam apa yang kita lihat. Warna adalah pengenalan identity dalam memori kita. Ia juga sebuah tarikan psikologi yang dapat membantu kita berfikir. Tetapi, warna yang aku ingin ceritakan disini adalah lain dari apa yang anda akan terbayang. Buat masa ini, aku ingin membuat kesimpulan keatas empat (4) warna yang aku fikir ia perlu dikaji.

Warna: Kuning
Kuning adalah satu warna yang optimistik dan menarik perhatian. Kuning juga disimbolkan sebagai penghantar perasaan dan penarik. Jadi definasiku bagi kuning adalah mereka yang inginkan tumpuan dan ingin orang sedar.

Warna: Merah
Merah itu melambangkan garang, kemarahan atau keganasan. Ia satu warna yang menarik perhatian kita dan sedikit sebanyak mengaktifkan sifat agresif dan ketegasan dalam diri kita. Merah bagi definasiku adalah kuasa dan pengaruh.

Warna: Putih
Putih itu jernih, jelas dan suci. Ia membentuk ruang dalam pemikiran kita supaya dapat berfikir dengan jelas dan fokus. Aku sukakan putih kerana ia menjadikan aku seseorang yang berupaya untuk berfikir secara luas dan bebas.

Warna: Hitam
Hitam itu misteri. Hitam melambangkan emosi dan sifat rashsia dalam diri kita. Ia juga membentuk kekasaran yang halimunan dan padat. Bagiku, Hitam melambangkan taraf kehidupan yang berperingkat, ada egonya yang dibentuk secara ekspresif.


* Rangkapan Kata-kata untuk Kalian

Hatta, suatu ketika aku telah mengayakan kekhilafanku untuk menepati terma keegoan dan ketidakmatangan dalam erti kehidupan dan kerjayaku. Berulangkali aku bertindak terlalu emosional yang sedikit sebanyak memberi kesan seterusnya membentuk perwatakan pasif dan negatif yang senantiasa berbicara tentang perihal ketidaktenteram jiwa malah hasrat hati dalam menitik corak kerjayaku.

Namun, masa telah dihembus bayu bagaikan awan di langit yang biru. Aku mengerti akan warna kehidupan dan takdir yang perlu dinilai secara positif. Aku sedar akan iltizamku. Hari ini, aku memulakan langkah yang pesat untuk membentuk corak baru dalam lapangan kehidupanku, suatu pengajian yang baru yang mengalir seperti sungai , yang akan mengisi diriku dengan seribu satu ilmu. Hari ini juga, aku mahu mengubah persoalan kredibiliti aku sebagai seorang seniman dan juga ahli reka interaktif di suatu ‘daerah’ yang pernah membina kematangan dan pengalaman kerjayaku.

Aku kini percaya akan jari-jemariku dan permainan minda yang akan terus kekal kreatif yang akan membantu menyelesaikan permasalahan komunikasi visual. Aku ingin meneruskan destinasiku ini sebagai hamba yang mencipta, memberi dan menyumbang terhadap kemajuan budaya maya dan kehidupan rohani dan jasmani. Insya’Allah.

_

1 comment:

awan said...

warna putih, persis luas dan bebas. benar sekali.

muid, semoga semangat karyawanmu akan terus marak. :)